Zuraida Kamaruddin, Nuridah Salleh, Chong Eng | Foto Nasir Sudin
Tue | Aug 04, 09 | 6:24:51 pm MYT
Wanita Pakatan Rakyat menggesa agar kerajaan segera menghapuskan Akta zalim ISA yang telah disalahguna oleh mereka yang berkuasa. Polis dipergunakan untuk melaksanakan wewenangan dengan kuasa yang terkandung dalam Akta zalim ISA. ISA memberi kuasa untuk menangkap dan memenjara rakyat tanpa alasan dan bukti yang sah.
Wanita Pakatan Rakyat juga amat kesal dengan kenyataan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil, dalam usaha menutup kelemahan Umno-BN, Sahrizat seolah-olah seperti Zionis Israel yang mempertikai kanak-kanak Palestin yang berada bersama-sama ibu bapa mereka dalam menegakkan kebenaran dan keadilan.
ISA adalah satu Akta yang zalim dan diwujudkan hanya untuk menegakkan kepentingan Umno-BN. Oleh itu, ia wajar dituntut oleh sekelian rakyat, termasuk anak-anak yang menjadi pewaris masa depan negara.
Sebuah negara yang mendokong demokrasi sewajarnya tidak menghalang sebarang perhimpunan aman. Tuntutan rakyat agar ISA dimansuhkan dan bukan hanya dipinda tidak mendapat perhatian kerajaan Malaysia pimpinan Umno-BN.
Polis yang diperguna untuk mengukuhkan kepentingan Umno-BN telah memperalat ISA untuk menangkap sesiapa yang disukai tanpa alasan yang hak atau dakwaan dengan bukti yang sahih.
Pandangan yang lain dari Umno-BN disekat berhabisan dan tidak diberi ruang secukupnya agar didengari oleh rakyat. Media arus perdana di Malaysia adalah berat sebelah dan memperkukuh kewujudan Akta zalim ISA.
Polis telah mengamalkan budaya menghukum dan menyiksa mereka yang ditangkap ketika perhimpunan aman menentang ISA. Para OKT (orang kena tahan) telah sengaja tidak di layan dengan sewajarnya dan dibiarkan tanpa makan dan minum yang sempurna ketika dalam tahanan.
OKT adalah tidak bersalah sehingga dijatuhkan sebarang hukuman oleh mana-mana mahkamah, maka wajar mereka dilayan sebagai rakyat Malaysia yang lengkap segala hak-hak kewarganegaraan mereka.
Sharizat lebih wajar menegur pihak polis, yang di bawah kuasa Menteri dalam Negeri, Hishamuddin Hussein, untuk melaksanakan tugasan mereka secara adil dan profesional, bukannya menjadi alat atau barua mana-mana golongan, hatta Umno-BN sendiri.
Ketika perhimpunan berlangsung, gedung dan perniagaan sekitar lokasi terlibat telah penuh dikunjungi oleh pelanggan. Begitu juga dengan restoren dan kedai-kedai makan yang penuh dengan pengunjung.
Pengangkutan awam, khususnya perkhimatan LRT, Monorail dan bas dipenuhi oleh penumpang yang kesemuanya memberi keuntungan yang besar kepada perniagaan.
Sebenarnya tindakan polis yang menyimbah air asid dan gas yang telah menjejaskan kegiatan ekonomi rakyat Malaysia pada hari Perhimpunan menentang ISA 1hb Ogos lalu.
Bahkan polis juga telah mengakibatkan lalulintas jalanraya yang penuh sesak kerana sekatan jalanraya yang dikenakan.
Halangan dalam pengamalan demokrasi sebenar adalah punca kerugian perniagaan, kegiatan ekonomi rakyat Malaysia dan huru-hara di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur.
Kerajaan Malaysia pimpinan Umno-BN sebenarnya sangat cemas terhadap kebangkitan rakyat yang menuntut pemansuhan ISA.
Wanita Pakatan Rakyat menyokong penuh sebarang perhimpunan aman rakyat Malaysia dan menuntut agar pihak polis di bawah Kementerian Dalam Negeri memainkan peranan mereka menyuburkan amalan demokrasi ini, bukan sebaliknya.
Kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Sharizat Abdul Jalil, Wanita Pakatan Rakyat menggesa beliau agar hentikan bersikap ala Zionis yang mempertahankan keganasan polis terhadap rakyat.
—
Zuraida Kamaruddin ialah Ketua Wanita KEADILAN
Hjh Nuridah Salleh ialah Ketua Muslimat PAS
Chong Eng ialah Ketua Wanita DAP_ |
Catat Ulasan