Timbalan presiden PKR Senator Syed Husin Ali meminta perwakilan parti supaya bersikap positif ke atas tindakan “lompat katak” yang dilakukan beberapa pemimpinnya sebelum ini.
Berucap semasa merasmikan kongres sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) parti itu malam ini, Syed Husin bagaimanapun mengakui bahawa sebahagian daripada pemimpin tersebut berbuat demikian kerana kecewa dengan PKR.
“Kita akui di antara mereka yang keluar itu memang ada sebilangan kecil yang merasa kecewa dengan parti
“Akan tetapi, perlu ditegaskan kebanyakan mereka yang melompat mempunyai masalah peribadi.
“Ada yang terbelenggu oleh masalah kewangan, ada yang marah kerana tidak mendapat apa yang mereka mahu dari parti ataupun kerajaan yang dipimpin parti,” katanya di kongres keenam PKR di Kota Bharu.
Tambahnya, ada di kalangan pemimpin itu juga tidak dapat bekerjasama dengan anggota dan pemimpin bawahan parti.
“Selain itu ada pula yang gagal menjalankan tugas sebagai “wakil rakyat” dan sebagainya. Mereka mudah dibeli,” katanya lagi.
Beliau juga cuba meredakan kebimbangan di kalangan perwakilan berhubung perkembangan itu dengan mengatakan, jumlah pemimpin yang keluar parti itu tidaklah seramai yang didakwa.
“Bil
angan yang keluar itu tidaklah seramai yang dibesar-besarkan… Kita tidak perlu bimbang sangat dan harus menghadapinya dengan sikap positif.
“Tiap-tiap bulan parti menerima sekitar 5,000 permohonan anggota baru. Beberapa bulan lalu, dalam tempoh tiga bulan (diterima) sebanyak kira-kira 50,000 permohonan,” katanya dengan disambut tepukan kira-kira 500 hadirin.
Kesan baik dalam jangka panjang
Tambahnya, perbuatan “lompat katak” itu juga diakui memberi kesan buruk namun dalam tempoh panjang ia sebenarnya dapat menyucikan parti tersebut.
“Saya selalu mengatakan ini satu proses yang positif, iaitu sebagai proses penyucian walaupun bukan akibat dari tindakan parti sendiri pada permulaannya,” katanya dengan memberi contoh pengalaman yang dialami PAS dan DAP.
Je
lasnya, PAS dianggap akan “gulung tikar” oleh Umno apabila pemimpin kanannya meninggalkan parti itu, termasuk yang dipertuanya Asri Muda dan setiausaha agungnya Othman Abdullah.
“Umno dengan gembira mengisytiharkan PAS akan gulung tikar. (Kemudian), apa yang berlaku? PAS menjadi bertambah kuat,” katanya lagi dengan disambut tepukan.
“Jadi mulai sekarang kita harus tegas dan tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas anasir-anasir yang merosakkan parti,” tegasnya.
Bagaimanapun, beliau berkata peristiwa “katak lompat” itu saja tidak mencukupi untuk menguatkan PKR.
“PKR akan menjadi benar-benar kuat dan mantap hanya sekiranya kita mempunyai ramai pemimpin dan anggota yang berpegang teguh kepada ideologi atau dasar perjuangan Parti.
“Kita perlu bergerak cergas dalam parti dan di kalangan massa rakyat; jikalau tidak boleh setiap minit, setiap jam dan setiap hari, sekurang-kurangnya setiap minggu dan setiap bulan berterusan,” katanya lagi.
Malaysiakini
posted by PKR - Ranting Gunung Rapat 人民公正党昆仑喇叭支部 @ 23:59
Catat Ulasan