KUALA LUMPUR, 14 April: Pakatan Rakyat melalui PKR memilih calon pilihan ramai apabila menamakan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calonnya untuk pilihan raya kecil Hulu Selangor.
Nama Zaid diumumkan sebagai calon PKR oleh ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Komuniti Serendah malam tadi.
Turut serta di majlis itu adalah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pemimpin kanan DAP
Dalam poll (bawah) yang dibuat oleh Harakahdaily, Zaid terbukti menjadi pilihan ramai apabila 55 peratus pengundinya memilih beliau berbanding dua lagi calon yang dinamakan.
Zaid mendapat 3723 undi dari 6805 pembaca Harakahdaily yang mengundi dalam poll itu.
Sebelum ini, nama Zaid telah disebut-sebut sebagai bakal calon PKR. Harakahdaily mula menyiarkan nama Zaid sebagai bakal calon PKR melalui tulisan kolumnisnya sehari selepas kematian Datuk Dr Zainal Abidin, anggota Parlimen Hulu Selangor sebelum ini.
Sebuah akhbar politik, Siasah keluaran lalu menyiarkan ramalan di muka depannya, Zaid adalah calon PKR di Hulu Selangor.
Zaid, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang telah meletakkan jawatannya selepas membantah tindakan kerajaan menahan wartawan dan tokoh politik di bawah ISA tahun lepas.
Kemudian beliau menyertai PKR dan dilantik sebagai Penyelaras Pakatan Rakyat. Beliau adalah tokoh penting di belakang Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang dibentangkan dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat di Shah Alam tahun lalu.
Barisan Nasional (BN) dijangka akan mengumumkan calonnya 15 April ini iaitu esok. Sehingga kini, semua pemimpinnya berkata, calon MIC yang akan dipilih namun desakan semakin kuat agar calon Umno diletakkan di situ.
Calon MIC yang dikehendaki parti itu adalah timbalan presidennya, G Palanivel. Namun begitu, sebahagian pemimpin Umno mahukan calon lain iaitu antara Ketua Penerangan MIC P Kalamalanathan atau Ketua Pemuda MIC Bahagian, V Mugilan.
Umno bahagian pula mahukan bekas MB Selangor, Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib sebagai calon mereka. Ini kerana, mereka yakin Muhamad dapat mengulangi kejayaan sebagaimana yang dicapai Umno dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang apabila mereka meletakkan bekas MB Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad sebagai calon.
posted by PKR - Ranting Gunung Rapat 人民公正党昆仑喇叭支部 @ 23:03
Catat Ulasan